www.emedia.com.my/Current_News/HM/Friday/Bintang/20060303082613/Article/indexm_htmlJAC, DANIEL serasi
Oleh Mohd Nasif Badruddin
“SEANDAINYA ada lagu yang sesuai dan menepati cita rasa kami berdua, rasanya tidak salah kami berduet. Mungkin ia boleh mencipta kelainan dan keunikan tersendiri.”
Demikian luahan juara Malaysian Idol 2004, Jaclyn Victor (Jac) , ketika ditanya kemungkinan beliau berduet bersama juara Malaysian Idol 2005, Daniel Lee. Gandingan ini tidak mustahil direalisasikan memandangkan mereka lahir dari pertandingan realiti televisyen yang sama.
Malah, gandingan mantap mereka ketika menjadi artis undangan Sambutan Ulang Tahun Watsons ke-12 di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mendapat sambutan hebat peminat.
Konsert satu jam setengah itu diadakan khusus bagi menghargai sokongan orang ramai kepada jenama Watsons yang dihoskan Duta Watsons, Cheryl Samad dan Faiz Ahmad.
Tirai persembahan pada malam itu dimulai dengan tarian rancak yang menghangatkan suasana dari artis Peter Choo Dancers. Sejurus kemudian, Daniel tampil mendendangkan lagu Mandarin berirama rancak daripada album sulungnya, The Choice, sebelum disusuli lagu Angin Malam.
Melengkapkan lagi suasana, Jac muncul menyanyikan lagu Angel yang dipopularkan Jessica Simpson’s dan Always Be My Baby daripada Mariah Carey. Kemunculan Jac ternyata mendapat tepukan gemuruh dengan kelantangan suaranya memecah keheningan dewan.
Tatkala penonton mula mendapat ‘mood’ persembahan, Daniel tampil bertenaga dengan petikan gitar akustik mempersembahkan lima lagu, Heaven Knows daripada Rick Price, True (Ryan Cabrera) dan Belaian Jiwa (Carefree).
Daniel turut menyerikan suasana dengan dua lagu daripada albumnya iaitu Organic Love dan Mimpi yang dinyanyikan ketika pertandingan akhir Malaysian Idol tahun lalu.
Seterusnya, Jac tampil menceriakan suasana dengan alunan lagu Because Of You (Kelly Clarkson) sebelum menjemput penonton menari bersamanya tatkala lagu I Will Survive dialunkannya.
Jac mengakhiri persembahan dengan lagu Gemilang yang menaikkan namanya di persada seni tanah air sehingga muncul Juara Lagu 2005.
Hadirin kemudian diserikan dengan acara memotong kek oleh Pengurus Besar Watson’s Personal Care Store Sdn Bhd, Ian Cruddas, sebagai acara kemuncak sambil diiringi nyanyian penonton.
Tirai persembahan malam itu diakhiri dengan persembahan duet Daniel dan Jac mengalunkan lagu Let’s Get Loud dan Inside Your Heart.
Sementara itu Cheryl berkata, dia gembira kerana konsert kali ini agak berbeza dan diadakan khusus bagi meraikan pelanggan Watsons.
“Saya cukup berpuas hati melihat orang ramai gembira dengan konsert ini. Ia tanda penghargaan buat mereka yang setia menyokong kami sejak 12 tahun lalu.
“Sebagai Duta Watsons, saya merasakan ia satu tanggungjawab bagi memastikan nama Watsons terus kekal di hati rakyat Malaysia. Selain itu, saya kini sibuk mengikuti pelbagai promosi dan aktiviti bersama Watsons,” katanya yang akan menyambung kontrak sebagai Duta Watsons sehingga 2007.